Bismillahirrahmanirrahim..
Saya tak pernah menulis blog untuk bacaan umum, dan saya tak berbakat untuk menulis. Tapi saya rasa terpanggil untuk menulis sesuatu setelah bertemu dengan seorang wanita yang membuka mata dan fikiran saya tentang realiti sebenar ummah kita. Realiti tentang hakikat kekeluargaan yang sebenarnya menjadi asas pembentukan ummah. benar, isu ummah di Gaza dan Syria sedang tenat, namun kita juga sebahagian dari ummah dan kita juga perlukan perhatian.
wanita ini telah bertahun saya kenali. saya kenal dia sebagai seorang yang susah, namun penuh dengan senyuman. bak kata ummi, kalau nak dengar ucapan terima kasih yang penuh berharga, dia lah pemberinya. wanita ini, sangat menghargai dan sentiasa menghargai setiap pertolongan dan pemberian. istimewanya dia, walaupun susah, tapi sentiasa ingin memberi dan berkongsi. kami kenal wanita ini dengan kemuliaan hatinya. namun, tidak ramai yang kenal wanita ini dengan ketabahannya..
bagi insan lain, anak-anak lah tempat ibu bapa menumpang usia tua mereka. usia tua yang sepatutnya dipenuhi dengan rehat, diisi dengan kelapangan masa untuk beribadah. dengan kebanyakan anaknya yang telah berkeluarga, sepatutnya tanggungannya makin berkurang. namun tidak begitu bagi wanita ini. bukan sekadar anak yang perlu ditanggung, bahkan cucu-cucunya juga ditinggalkan di rumahnya untuk dijaganya. paling memeritkan, anak-anaknya tidak pernah menghulurkan bekalan beras, apatah lagi wang belanja. segala-galanya ditanggung wanita ini. dengan kudrat yang ada, dia menoreh getah di siang hari. menjadi tukang urut di malam hari. dia lah yang mencari wang, dia lah memasak, dia lah yang menjaga anaknya bongsunya yang kurang upaya, dia lah segala-galanya. beras sekampit tidak cukup untuk seminggu, manakan tidak, yang menjadi tanggungannya di dalam rumah itu hampir 20 orang! susahnya hidup, hinggakan tidur tidak berlapik walaupun tikar. bahkan kehujanan tidak berpayung untuk pergi mengurut. tabahnya wanita ini, moga Allah memberkatinya..
tidak dapat dinafikan, kesusahan hidup mengajar manusia untuk lebih meghargai kurniaan Allah, lebih mensyukuri Allah, lebih mengetahui apa itu keperluan dan kemahuan. terkadang saya rasa malu dengan dirinya, bahkan malu dengan diri sendiri. betapa selama ini kita sentiasa menginginkan sesuatu yang lebih, menjaga jenama dan standard, tidak mahu ketinggalan zaman kononnya sedangkan mereka tidak mampu memiliki walau keperluan diri. inilah sifat yang sukar dikikis dalam diri kita.
pernah pada suatu hari, wanita ini dihadiahkan dengan sebuah beg tangan oleh seorang saudari seislam yang amat dikasihinya. lalu berjalan pulang lah wanita ini penuh gembira dan ceria. dalam perjalanan pulang ke rumah, dia melalui rumah salah seorang anak perempuannya dan bertembung dengannya. melihat ibunya mengelek beg tangan yang cantik, maka bersoal lah anaknya. moga Allah menganugerahkan wanita ini dengan darjat yang tinggi di sisi-Nya, anak perempuannya itu meminta untuk memiliki beg tangan yang belum pun sempat diguna ibunya, malah tak sempat dibawa pulang ke rumah pun. ibu mana yang sampai hati untuk menolak permintaan anaknya?lalu diserahkan beg tangan itu dengan hatinya yang berat dan sedih. begitulah mulianya hati insan bergelar ibu, biar hatinya terluka, asal melihat anak gembira.
luah wanita ini, seringkali dia makan nasi dengan cuma ikan kering walau telah memasak lauk yang enak. kenapa? kerana terkadang lauk dihabiskan keluarga tanpa langsung memikirkan ibu yang belum menjamah nasi, juga berkorban selera sendiri demi mencukupkan keluarga dengan lauk enak. manakan tidak, nak beri makan pada hampir 20 orang, tentunya banyak bahan yang diperlukan, banyak wang yang terbelanja. ibarat lilin membakar diri untuk menerangi, begitulah ibu ini.
namun itulah hakikat anak-anaknya. jauh sekali ingin menghadiahi ibu, wang belanja pun tak pernah dihulur, bahkan pernah meminta wang dari ibu walau sudah berkeluarga. terdetik di hati kecil saya, apakah mereka tidak punya hati dan perasaan? apakah hati ibu itu bukan satu hati mulia yang perlu dijaga? apakah cuma ibu yang perlu memahami hati anaknya selamanya? bukan mereka sahaja soalan ini saya tujukan, malah kepada diri saya sendiri, dan anda.. adakah selama ini kita buktikan layanan istimewa kita kepada insan yang letaknya syurga kita di kakinya? apa buktinya? kita mahu ibu selamanya memahami hati dan perasaan kita, namun kita abaikan hati dan perasaannya. ibu, telah Allah Ar-Rahim ciptakan dengan sifat pengasih dan penyayangnya, sentiasa mengorbankan kepentingan diri demi anak-anak, namun mereka juga mahu difahami dan dihargai. mereka tidak meminta dimewahi wang dan harta, cukup layanan ikhlas anaknya.
kisah wanita tabah ini benar-benar menyentuh hati saya. hidupnya diuji dari setiap penjuru. suaminya sakit, tidak lagi mampu bekerja. tapi sakit tidak mahu dirawat, lebih rela hidupnya begitu. kerana sakit tidak perlu bekerja mungkin? pernah ummi menawarkan untuk membawanya ke hospital, namun ditolaknya mentah-mentah. katanya takdir hidupnya begitu. kata ummi, ummi tak tahu macam mana wanita ini mampu hidup dengan lelaki sebegini, hidup menyerah kepada takdir, tak mahu berusaha untuk pulih. lebih memeritkan wanita ini, suaminya tidak lagi solat sejak sakit. tiap kali wanita sabar ini solat dan membaca Al-Quran, dia diperlekehkan suaminya. cerita wanita ini, dia asalnya dari dulu lagi tidak mahu berkahwin dengan suaminya ini, namun dipaksa ibunya kerana kononnya dia lelaki yang bagus. dan kini, hidupnya tersepit; hendak terus bersama namun tidak bahagia, mahu bercerai namun ada anaknya yang kurang upaya dan malu pada masyarakat kerana usia mereka sudah tua. terkadang berjurai air mata wanita gigih ini..
katanya, bila pandang ke atas, terasa langit gelap, bila pandang ke bawah terasa kosong. begitulah sehari hari dia menempuh hidupnya. saya kagum pada ketabahan dan kemuliaan hatinya. Allah menguji hidupnya dengan pelbagai ujian, dan dengan ujian itulah Allah menjadikan hatinya kuat dan tabah. Allah menghantarnya untuk kita jadikan kisahnya sebagai pedoman dan pengajaran. saya percaya kisah seperti ini banyak berlaku. asas pembentukan ummah yang baik bermula dari asas kekeluargaan yang baik. layakkah kita berlantang suara menggegarkan isu dunia, andai ibu yang wajib kita taati dan berlaku baik kepadanya tidak kita penuhi tuntutannya?
namun ketahuilah duhai wanita tabah, tiap perngorbanan mu adalah perjuangan jihad di jalan Allah. sejak dari melahirkan dan membesarkan anak-anakmu, tiada pengorbanan mu yang tidak dihitung Allah. pujuk lah hatimu, dengan ubat rindu pada janji Yang Esa. letaknya syurga di telapak kakimu, cukup membuktikan siapa dirimu di sisi Allah. biar apa layanan mereka, asal dikau ikhlas kerana Allah.
moga Allah memberkati dan mengangkat darjatnya di sisi-Nya.. ameen.